CARA MEMBINA NILAI PROFESIONAL UNTUK MENJADI GURU YANG CEMERLANG


CARA MEMBINA NILAI PROFESIONAL UNTUK MENJADI GURU YANG CEMERLANG
(Jessy Ginus)

Sebagai seorang pelajar perguruan, saya sedar bahawa profesionalisme merupakan salah satu aspek utama bagi mengenalpasti kredibiliti seorang warga pendidik. Seorang guru yang bersikap professional akan melengkapi segala aspek kualiti yang diperlukan bagi melayakkan dirinya untuk diiktiraf sebagai dinamik dan berkaliber. Oleh itu, terdapat beberapa cara yang perlu saya laksanakan bagi membina nilai profesional untuk menjadi guru yang cemerlang.  

                Cara yang pertama adalah, saya akan melengkapkan diri saya dengan ilmu dan kemahiran yang pelbagai. Guru merupakan seorang tenaga pendidik yang akan menyampaikan ilmu kepada pelajar. Oleh itu, sebagai seorang pelajar perguruan, saya perlu menguasai pelbagai kemahiran yang wajar ada pada diri seorang pendidik. Sebagai contohnya, saya perlu memantapkan kemahiran berkomunikas agar penyampaian ilmu kepada pelajar melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan. Selain itu, kemahiran asas dalam bidang teknologi dan perkomputeran (ICT) juga perlu dikuasai. Kemahiran ICT sememangnya penting untuk dikuasai oleh seorang pendidik selaras dengan kemajuan yang ada pada masa kini. Hal ini kerana, apabila seorang pendidik mampu menguasai kemahiran dalam perkomputeran maka proses penyampaian pengajaran juga dapat dipelbagaikan seperti penggunaan paparan Slide Show atau Video semasa sesi PDP dijalankan. Kaedah penyampaian pengajaran yang berbeza ini sememangnya mampu menarik minat pelajar untuk belajar. Tuntasnya, kemahiran pelbagai yang dikuasai mampu membantu saya untuk meningkatkan nilai profesionalisme ke arah menjadi seorang pendidik yang cemerlang.

                Seterusnya, saya juga perlu mempunyai sikap ingin belajar sepanjang hayat. Sebagai seorang plajar perguruan, saya sedar bahawa guru bukan sahaja perlu membekalkan ilmu kepada pelajar tetapi guru juga harus mempunyai bekalan ilmu yang mencukupi untuk mendidik muridnya.Hal ini kerana, dengan mengikuti latihan ikhtisas selama beberapa tahun sahaja, ia tidak mampu menjamin bahawa seseorang guru itu sudah terlatih untuk selama-lamanya. Sebaliknya, jika seorang guru mempunyai sikap ingin belajar dan menambah ilmu pengetahuan selepas belajar, maka guru itu tidak akan ketinggalan dan profesion keguruannya juga akan meningkat. Oleh itu, saya perlu mengamalkan amalan sepanjang hayat tanpa mengira masa dan situasi agar ilmu sedia ada dapat diperluaskan. Saya juga perlu rajin untuk menyertai seminar atau program yang dianjurkan oleh pihak universiti  mahupun pihak luar bagi menambah pengetahuan saya dalam pelbagai bidang yang berbeza ke arah membentuk profesional untuk menjadi guru yang cemerlang.  

                Akhir sekali, saya juga perlu menghayati kod etika profesion perguruan yang ditetapkan olah pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kod etika ini menyediakan garis panduan tentang bagaimana untuk bertingkah laku dalam profesion perguruan dan kod ini sesuai untuk dirujuk serta diamalkan oleh semua guru. Sebagai pelajar perguruan, saya perlu mempunyai kesedaran bahawa tugas dan amanah sebagai seorang guru adalah untuk mendidik dan menjadi contoh kepada generasi muda yang akan menerajui negara pada masa akan datang. Penghayatan terhadap kod etika perguruan akan membolehkan saya untuk lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang pendidik.   Penghayatan terhadap etika perguruan ini juga akan membantu saya untuk meningkatkan disiplin serta memupuk perilaku baik yang wajar ada pada seorang bakal pendidik. Natijahnya, saya perlu menghayati kod etika perguruan bagi membina nilai profesional untuk menjadi seorang guru yang cemerlang.

                Kesimpulannya, saya perlu sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri serta meningkatkan kemahiran dalam pelbagai aspek terutamanya yang berkaitan dengan profession keguruan.Oleh itu, dengan adanya nilai professional yang tinggi, maka ini sememangnya akan membolehkan saya  untuk  lebih bersedia dalam menggalas tugas sebagai seorang guru yang cemerlang pada masa hadapan.  

Comments

Popular posts from this blog

UNIT 9 : REKA BENTUK KURIKULUM MALAYSIA